Friday, May 15, 2009

politik jap

Pas yang Aneh, UMNO yang Lemah

UMNO dan Pas. Bagi golongan yang fanatik kepada Pas, apabila disebut “UMNO” kepada mereka, secara spontan mereka menjawab, “UMNO, NO!”. Sebaliknya bagi golongan pendokong tegar UMNO, disebut kepada meraka Pas, secara sinis mereka menjawab, “Pas No!”.


Walhal Pas dan UMNO, kedua-duanya memiliki lebih banyak persamaan dari perbezaan. Kenapa susah payah sangat bekerjasama, bersatu atau berpadu?


Walhal Pas dengan PKR terutamanya dengan DAP, kedua-duanya memiliki banyak perbezaan dan sedikit sahaja persamaan. Maka masih boleh berlaku kerjasama dan pakatan mereka ini? Benar atau palsu, kekal atau sementara, jujur atau hanya sekadar sandiwara?


Pas kawan PKR, PKR pula kawan DAP. Kawan kepada kawan, sudah tentu kawan-kawan. Jadi, jelaslah terbukti Pas kawan DAP, DAP kawan Pas melalui PKR.


Pas selalu meletakkan syarat taktikalnya, Pas boleh bekerjasama dengan UMNO, dengan syarat UMNO menerima Islam sebagai dasar dan menolak ideologi sekular (?). Ini mungkin benar. Namun UMNO berhujah, dasar perjuangan mereka bukanlah Islam, tetapi ideologi mereka kebangsaan, namun matlamat mereka juga kesudahannya nanti adalah Islam (?). Dalam UMNO, Islam adalah salah satu dari cabang perjuangannya.


Namun, sekali lagi yang sahihnya ialah Pas mempunyai banyak persamaam dengan UMNO, dan sedikit perbezaan sahaja. Namun Pas tidak boleh bekerjasama dengan UMNO.

Pas pula pada mereka yang sama, mempunyai perbezaan yang begitu besar dengan DAP dan amat sedikit persamaan, namun masih boleh berkawan dan bekerjasama. Apa ertinya ini?

UMNO masih Islam, tetap Melayu, menerima Islam sebagai agama rasmi Malaysia. Ingin melaksanakan Islam menerusi ideologi dan metodologi kebangsaan. Pas tidak boleh bekerjasama dengannya.


DAP sudah tentu tidak Islam dan tiada Melayu jati, bahkan bukan sahaja tidak menerima Islam, malahan menentang Islam yang berkuasa. DAP menentang ‘konsep negara Islam’, pelaksanaan undang-undang Islam seperti Hudud dan menolak Al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan dan pedoman utama Malaysia. Pas masih boleh kelihatan bekerjasama dengan DAP.


Rumusan awalnya, Pas tidak boleh bekerjasama dengan UMNO kerana UMNO tidak boleh menerima Islam. Sebaliknya Pas masih dapat bekerjasama dengan DAP dan PKR kerana kedua-duanya menentang Islam – negara dan perundangan Islam yang berdaulat

.

Aneh! Namun inilah realiti walaupun bukan hakiki. Hukum logik akal, menjelaskan yang menentang Islam (DAP & PKR) sudah tentu lebih zalim dari yang tidak boleh menerima Islam (sebagai dasar parti) iaitu UMNO. Sebab dalam UMNO, Islam adalah satu daripada cabangan-cabangan ideologinya sahaja, bukan induk dan pokok.


Jika UMNO dituduh zalim, maka zalimnya sudah dikenali dan difahami selok-belok dan sepak terajangnya. Tetapi zalimnya DAP kerana menentang Islam, masih tersembunyi kuku dan taringnya, jauh lebih bahaya dari kezaliman yang sudah dikenal pasti.


Kaedah fiqh ada menjelaskan, (jika terpaksa) pertimbangan dibuat dengan cara memilih untuk berkawan dengan keburukan yang masih boleh dikawal, menjauhi keburukan yang lebih besar dan tidak terkawal.

Kaedah fiqh syariah menetapkan, keutamaan untuk berhubungan dengan mereka yang masih melafazkan kalimah syahadah, solat, puasa, zakat dan haji, walaupun mungkin mereka fasik atau munafik. Jika fasik dan munafik sekalipun mereka bukan dibunuh atau diperangi, tetapi hanya diawasi dan dipantau gerak geri mereka.


Berbeza dengan golongan kafir harbi. Golongan ini sentiasa menghalang Islam, institusi-institusi, simbol dan syiar-syiar Islam.


Memang pun DAP, tidak menentang Islam, apabila Islam itu lemah, umatnya mundur, tidak berkuasa, tidak berdaulat, tiada kekuatan dan kehebatan. Bahkan keadaan Islam, umat Islam dan parti umat Islam seperti ini akan di kawani mereka untuk dijadikan topeng, batu loncatan, hamba dan alat propaganda bahawa mereka ‘kononnya’ tidak menentang Islam. Bahawa mereka masih boleh berkawan dengan umat Islam dan umat Islam? Inilah hujah perang psikologi mereka:


DAP akan benci, menentang Islam dan umatnya, apabila Islam berada di luar kawalan dan pemantauan mereka. Apabila Islam dan kedaulatannya sedang di baik pulihkan, dan tidak bersedia menjadi hamba, boneka dan alat kepada DAP, maka Islam seperti kedudukan ini akan dibenci dan dimusuhi oleh DAP.


Abu Jahal dan Abu Lahab tidak akan menentang Islam yang lemah, namun mereka amat benci dan memerangi Islam yang kuat, benar dan berkuasa seperti yang dibawa oleh baginda Nabi S.A.W. Malahan Islam yang lemah itu akan di kawani dan dihambai oleh kedua-dua ‘Abu’ kejahatan itu. Menjadi alat mereka untuk diperkudakan.


Virus yang menghinggapi sebilangan isi hati pemimpin dan pengikut Pas ialah riya’, ‘ujub dan takbur keIslaman (?). Merasai, mengakui dan mendabik dada, bahawa mereka lebih Islamik dari orang lain. Mereka seakan-akan bertindak ‘memonopoli’ Islam, perasan segala kebaikan Islam milik mereka, segala keburukan di luar Islam dimiliki oleh UMNO.


Walhal kaedah fiqh menegaskan, bahawa jika kita betul, namun kita masih ada silapnya. Dan jika mereka salah, namun mereka masih ada betulnya.


Pendirian Islamik ialah, kami bukan segala-galanya. Jika kami betul, maka kami tidak betul kesemuanya. Jika mereka salah, maka mereka tidak salah kesemuanya.


Pendirian Islamik yang membuktikan taqwa dan tawadhu’ ialah, “mari kita bersama-sama bekerjasama dalam perkara yang kita sepakati”. “Dan mari kita saling memaafkan, berlapang dada dalam perkara-perkara yang kita masih berbeza pendapat dan pendekatan”. Pendirian Islamik ialah, mari mengenali dan menghayati perbezaan pendapat yang di benarkan oleh Islam, dan mari kita jauhi perbezaan pendapat dan perpecahan yang di benci oleh Islam.


Pas selalu mendakwa bahawa mereka itu adalah doktor dan UMNO adalah pesakitnya. Namun ironinya, doktor pun sakit juga. Pas menghidapi ‘virus hati’: riya’, ‘ujub, takbur, pembenci, pendendam, pemburuk sangka dan pemfitnah.


Virus yang lebih kurang sama, ada juga pada UMNO yang menjadi pesakit tadi. Bahkan kedua-duanya masing-masing memiliki sifat, sikap, watak dan tabiat cinta dunia, pangkat, kuasa, kebendaan dan kemewahan, populariti dan glamor.


Namun kedua-duanya tetap masih ada aspek yang sihat, benar dan betul. Pada amnya, di dalam neraca ukuran kebendaan dan keduniaan, kedua-duanya ada baik-buruknya, positif dan negatif, sebagaimana sifat dan fitrah setiap makhluk manusia.


Dalam kerangka ukuran keduniaan, kedua-duanya sama baik. Namun baik lagi UMNO. Dan kedua-duanya sama-sama buruk, namun ralat lagi buruknya keduniaan Pas. Bayangkan dengan buktinya. Apabila golongan Islamik pun masih kasar, keras, taksub, kurang adab, sedikit budi kesopanan, kurang tarbiyah, lagho dan cacat peribadatan khususiyahnya (seperti taubat, jihad, solat, tilawah Al-Quran, solat berjemaah dan lain-lain).


Maka buruknya orang ‘beragama’ sudah tentu lebih hodoh dari buruknya orang jahil. Apabila golongan agama masih suka berniaga dengan modal fitnah dan tohmah, maka ianya lebih jelik dari golongan ‘juhala’ yang berpekerti yang sama.


Taksub kepartian dan fanatik kepimpinan adalah antara tembok pemisah kedua-dua parti umat Melayu ini. Pada umumnya, Pas mengalami sindrom terlebih Islam dari Islam, manakala UMNO pula terkurang dari ‘standard’ Islam. Islam kedua-duanya adalah Islam perlembagaan, bukan Islam dari Al-Quran dan Sunnah Nabi S.A.W yang sebenar. Sewajibnya,kedua-duanya beramal dan bertindak untuk menjadi parti “Ummatan Wasathan” yang sebenarnya.


Apabila Pas dan UMNO, tidak mengenali lagi kawan-lawan. Kawan-kawan dijadikan lawan, manakala lawan pula dijadikan kawan-kawan. Bayangkan, jiran terdekat dimusuhi, lawan yang tinggal jauh dikawani dan didekati. Susahnya apabila ditimpa kesusahan dan kemalangan tanpa diduga.


Pas juga mensucikan diri mereka. Kemenangan sementara Pas itu adalah tercipta dari sikap ‘terlebih benci’ dan ‘terlebih ajar’ oleh para pengundi. UMNO pula bermimpi dengan mengagungkan diri sendiri. Pas jangan pula tertipu oleh syaitan, tidak Pas maka tidak sempurna Islamnya. UMNO pula jangan terperangkap dengan hawa nafsu, tidak UMNO maka tidak akan maju bangsa Melayu.


Seperti suami isteri, lelaki-wanita, maka Pas dan UMNO perlu kepada sinergi dan kolaborasi. Aspek sempurna Pas adalah menjadi kekurangan UMNO, dan aspek sempurnanya UMNO, adalah menjadi kelemahan Pas. Perlu saling melengkapi. Pas sendiri pun, bukan segala-galanyanya Islam. Sebaliknya UMNO sendiri pula, bukan segala-galanya cemerlang.


Hakikatnya, Pas lebih banyak digunakan oleh DAP dan PKR untuk memecahkan Islam dan umat Melayu. Berbanding dengan sedikitnya dan terhadnya Pas menggunakan DAP dan PKR.


Dalam pakatan ‘nikah kontrak’ ini gambaran adalah seperti berikut: DAP abang besar kepada PKR, PKR abang kecil kepada Pas, kesudahannya Islam tidak tegak juga.


Hakikatnya, Pas bukan berpakat dengan DAP (yang dianggap Pas kurang zalim berbanding dengan UMNO dan B.N). Tetapi realitinya, Pas berpakat dengan DAP (yang sebenarnya lebih zalim dari UMNO dan B.N) untuk menjatuhkan UMNO dan B.N (yang disangka oleh Pas lebih zalim dari DAP).


Hakikatnya, DAP menggunakan orang Melayu dan Islam untuk melemahkan orang Melayu dan Islam melalui slogan kebebasan, keadilan, ketelusan dan keterbukaan.


Rupa-rupanya keempat-empat slogan ini bukan bersaiz tubuh badan orang Melayu-Islam untuk memakainya secara melulu. Namun bersaizkan rangka badan musuh-musuh Islam. Oleh itu apabila dipakaikan kepada badan umat Melayu-Islam, nampaklah hodohnya, terlalu besar atau terlalu sempit. Slogan itu lebih banyak menjerat umat Melayu-Islam sendiri.


Sewajibnya, kebebasan itu dipantau oleh tanggungjawab dan kewajipan, keadilan diawasi oleh kebenaran, ketelusan dilaras oleh tapisan dan keterbukaan pula disaring oleh pagar sempadan. Jangan terpesona dan ternganga dengan istilah yang datang dari Barat itu. Sesuai untuk mereka, belum tentu sesuai untuk kita. Semak balik pendekatan ideologi itu dengan Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas.


Guna pakaikan neraca keimanan dan ketaqwaan. Jangan menjadi ‘pengguna buta’ terhadap istilah-istilah yang datang dari luar Islam. Bahkan Islam memiliki sistem dan mekanismenya sendiri seperti tasamuh, tanawu’, takaful, takaluf, tanzim, tasawuf, tatawur dan tasawur.


UMNO, hanya merasai nikmat perpaduan melalui keMelayuan – Kebangsaan. Parti ini tidak mengetahui betapa berlipat gandanya nikmat melalui perpaduan Islam sesama Melayu dan faedah perpaduan kebangsaan dengan bangsa-bangsa lain.


Pas pula, hanya terpenjara dengan nikmat perjuangan melalui perpecahan, walhal betapa nikmatnya perjuangan melalui persaudaraan Islam sesama Melayu tidak mahu dirasainya.


Sampai bila Pas den kepimpinannya hendak berlagak menjadi juara, hero, hebat dan ‘ego-Islamik’ melalui permusuhan yang sengit dengan UMNO? Amat difahami bahawa jika ada pemimpin P.T.O Pas yang lebih tasamuh dan kompromi dengan UMNO, maka pengikut Pas yang ‘ditarbiyah’ sekian lama dengan label ‘UMNO Toghut, UMNO sesat, UMNO murtad’ dan lain-lain, akan menganggap pemimpin itu sudah tidak hebat lagi, tidak jaguh, sudah menjual agama dengan harga murah dan menjadi musuh dalam selimut; dicurigai.


Walhal amat banyak Pas mendapat faedah dari hasil dan produk idea dan program yang dilaksanakan oleh UMNO melalui kerajaan. Hal ini adalah haram untuk diakui oleh Pas dengan ikhlas kerana Allah.


Begitu juga UMNO, ceramah, syarahan, teguran dan kritikan Pas terhadap suasana kehidupan dalaman keIslaman pemimpin dan ahli UMNO, wajar diterima dan dihayati.


Walaupun akhlak dan budi pekerti Pas tidaklah bertaraf cemerlang; tiga, empat atau lima bintang, namun banyak hamburan dan imbauan mereka sepatutnya diterima pakai oleh UMNO, terutama mengenai keperibadian muslim, mukmin dan muttaqin.


Pas dan UMNO bukan mengalami ‘blocking’ keIslaman sangat, tetapi lebih kepada sekatan dan kekangan peribadi, persepsi dan keegoan para pemimpin dan pengikut.


Terlalu sedikit dalam amalan Pas mengikut Islam. Pas mengikut Islam hanya dalam idealisme dan slogan sahaja. Lebih banyak lagi Islam ditarik untuk mengikut rentak tari Pas. Dalam Pas, Islam ikut Pas lebih banyak dari Pas ikut Islam.


Hampir sama corak dan gaya Islam dalam UMNO. Islam dalam UMNO, adalah ‘Islam upacara’, Islam perlembagaan, Islam yang telah ‘ditempatkan’ peranannya, dan telah diatur skrip dialognya.



cukup ALLAH bagiku~

7 comments:

Anonymous said...

saja nak berpecah ,padahal org pas ada darah umno org umno ada darah pas , tuhan pun sama -allah , semua mengaku muhammad itu rasulullah , kitab dan kiblat yg sama .mati... kubur mungkin sama dan soalan yg sama akan di tanya .Belum tentu org pas masuk syurga dan juga belum tentu org umno tu masuk neraka . sesungguhnya diantara kamu terbujuk dgn hasutan syaitan

nur,1990. said...
This comment has been removed by the author.
nur,1990. said...

salam..
hrmm..penulisan yg berani..

perpaduan mmg sukar di capai..teringat kesah tyme Rasulullah berdoa tiga perkara utk umatnya...dua dmakbulkan tp satu je Allah x mkbulkn..pe dye?Rasulullah mohon agar umatnye bersatu,x bepecah..( btol en? kalu silap tlg btolkn)

tp ianya x bermksud perpaduan antr umat islam itu mustahi,cmenye,ianya memerlukan usaha+mase+strategi..

actualy cre nye sng je..kembalilah kpd ajaran islam yg sebenarnya..sekiranya pemimpin dlm kedue2 parti ikut nih..insyaAllah, bley je bersatu..

~pndgn peribadi,afwan kalu ade slh n silap..(x brape nk tau sgt hal2 politik..blom ckp umo..hehe :p)

Basyirah Abd Rahman said...

ni pendirian peribadi eh?ke.. hasil perbincangan dlm group discussion?
ya..sbenarnye, UMNO dan PAS berbeza..Allah berfirman "Wa'tasimu bihablillahhi jami'an..(ila akhr ayat) "

spt kata penulis"
Dasar PAS adalah alquran dan sunnah. dasar ini penting bagi menentukan hala tuju sesebuah gerakan.. Manakala UMNO berdasarkan semangat kebangsaan atau nasionalisme..hmm..perbezaan yg besar sebenarnye. dasar adalah asas perjuangan.."

manakala DAP pula adalah sbg tahalluf siyasi..

wallahualam..

khaleeftunggal said...

sekadar cetusan seorang remaje generasi ketiga..

hambamu said...

harap saudari baca dahulu konsep tahalluf siyasi..

dan harap saudari sedia maklum sejarah bilamana PAS pernah join BN dlm 1969 dan akhirnya dikhianati,

diri ini said...

salam..
Imam Ibnu Katsir menukil satu hadits yang berbunyi :

“Barangsiapa menyeru dengan seruan-seruan jahiliyah maka sesungguhnya dia menyeru ke pintu jahanam.” Berkata seseorang : “Ya Rasulullah, walaupun dia puasa dan shalat?” “Ya, walaupun dia puasa dan shalat, walaupun dia mengaku Muslim. Maka menyerulah kalian dengan seruan yang Allah telah memberikan nama atas kalian, yaitu : Al Muslimin, Al Mukminin, Hamba-Hamba Allah.” (HR. Ahmad)

_Demi Allah,akan ku BAKAR jiwa2 yang cuba melemahkan gerakan Islam_

Followers

Total Pageviews

Islamic Calendar